Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju] minta Menteri Kewangan menyatakan kerugian terperinci yang mana Bank Negara Malaysia (BNM) terpaksa menanggung kerugian besar akibat kesalahan dalam pencetakan wang kertas Malaysia, yang menimbulkan masalah kekurangan wang kertas baru untuk Perayaan Tahun Baru Cina, serta memberi nama agensi atau syarikat yang dilantik untuk menguruskan kerja pencetakan wang oleh Thomas de la Rue di UK dan mengapakah BNM tidak menuntut pampasan dari syarikat yang dilantik.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, kejadian dalam percetakan wang kertas adalah berpunca daripada percetakan yang kelihatan kurang jelas atau luntur sekiranya dibasuh menggunakan bahan cucian/peluntur yang berat. Namun, Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memamklumkan bahawa ia tidak mengalami sebarang kerugian atau beban kewangan ekoran daripada masalah percetakan wang kertas tersebut. Ini kerana di bawah perjanjian pesanan yang ditanda tangani di antara BNM dan syarikat pencetak wang kertas berkenaan, syarikat tersebut bertanggungjawab ke atas segala kos, bayaran atau apa-apa tanggungan lain sekiranya berlaku sebarang masalah yang berpunca daripada kegagalan pihak syarikat tersebut dalam melaksanakan kontrak percetakan yang diberikan.
2. Berkaitan dengan kontrak pembekalan dan percetakan wang kertas, BNM hanya berurusan secara terus dengan syarikat-syarikat pencetak mata wang yang mempunyai reputasi yang tinggi serta memenuhi syarat-syarat ketat yang telah diluluskan oleh ahli lembaga pengarah BNM.

